Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Siapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan siapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."
Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Aasyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Aasyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Aasyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Aasyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Aasyura !".
Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Surau Annur Al-Idrisiyah dengan kerjasama Muslimat Jalan Kebun telah mengadakan program Barakah Asyura pada 16 Disember 2010. Program yang diadakan bersempena 10 Muharram ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dengan program gotong-royong memasak bubur Asyura dan bubur Lambuk oleh muslimat dan ahli-ahli kariah Kg. Baru 2 Jalan Kebun. Semua bubur yang telah dimasak diagih-agihkan kepada para penduduk di kariah ini.
Pada sebelah malamnya diadakan ceramah sempena Maal Hijrah yang telah disampaikan oleh YgBhg. Ustaz Jefry Mohd Isa. Turut hadir meraikan majlis adalah YB. Tn Shuhaimi Shafiei, ADUN Sri Muda. Wakil pemaju perumahan IOI juga hadir untuk menyerahkan cek pampasan sebanyak RM30,000 kepada 3 orang penduduk di kariah ini yang sebahagian tanah mereka telah diambil oleh pemaju untuk projek perumahan.
17 November 2010 / 1o Zulhijjah 1431 ibadah qurban turut dilaksanakan di surau Annur Al-Idrisiyah melibatkan 5 ekor lembu di hari pertama Hari Raya Eidul Adha pada tahun ini. Semenjak awal pagi lagi selepas solat sunat eidul Adha di surau, ahli-ahli qariah telah beramai-ramai hadir bergotong-royong menyempurnakan ibadah qurban. YB Tn Shuhaimi Shafie, ADUN Sri Muda turut menyumbang seekor lembu daripada Kerajaan Negeri Selangor pada tahun ini.
1 November 2010 bersamaan 24 Zulkaedah 1431, Pengerusi Surau AnNur Al-Idrisiyah Kg Baru Dua, Tn Haji Ismail @ Mahmood bin Mamat telah kembali ke rahmatullah di Hospital Sungai Buluh kerana penyakit barah. Ramai saudara mara, sahabat handai serta ahli kariah menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham. Allahyarham telah selamat dikebumikan jam 4.00 petang di perkuburan Islam Jalan Kebun. Allahyarham dipilih menjadi Pengerusi Surau pada Januari 2010 yang lalu menggantikan Ustaz Yahaya bin Abdullah. Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama golongan yang soleh. Al-Fatihah...
Muhammad S.A.W. – 27 Rejab 1. Sebelum Israk dan Mikraj Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu. 2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa): Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah: i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan); Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya : - Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. - Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan). - Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). - Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka. - Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami. - Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`. - Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. - Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. - Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. - Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat. - Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. - Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua. - Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat. 3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah): Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan. 11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S. 111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. 1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S. v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil. v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah). 11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya. 1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya. x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya: Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang. 4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga. 5. Selepas Mikraj Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam. (Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya. Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka. Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam.. SUMBER:http://fullfilth.blogspot.com
8 Julai 2010, Khamis : Surau AnNur Al-Idrisiyah telah dikunjungi Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr Siti Mariah Mahmud. YB Dr Siti Mariah telah bersolat Maghrib dan bertahlil bersama jemaah yang hadir. Dalam ucapannya selepas itu, beliau mengingatkan semua yang hadir supaya sentiasa perihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling masyarakat kerana cabaran-cabaran kepada mereka terutamanya generasi muda yang berdepan dengan gejala-gejala yang tidak sihat boleh membawa kesan yang tidak baik kepada masyarakat. Beliau mengharapkan pihak jawatankuasa surau memainkan peranan proaktif melalui penganjuran program-program yang boleh meningkatkan pembangunan rohani kepada masyarakat. Di majlis ini juga, YB turut melancarkan blog Surau AnNur Al-Idrisiyah, Kg Baru 2. Turut hadir di majlis ini ialah En Azmi Jusoh, Pegawai Sekretariat Pejabat Ahli Parlimen, Tn Hj Shamsudin Shaari, Nazir Masjid An-Naim Kg Jalan Kebun dan Tn Hj Ahmad Hakim bin Kari, Setiausaha JKKK Kg Jalan Kebun.
Pada 1 Julai 2010 yang lalu, sistem siaraya (PA System) surau telah dinaiktarafkan dengan pemasangan peralatan sistem itu dengan yang baru. Kerja-kerja pemasangannya dibuat oleh kontraktor yang membekalkan peralatan tersebut yang meliputi Amplifier, 3 pembesar suara dalam dewan, 2 pembesar suara azan dan peralatan sampingan. Sistem siaraya yang bernilai RM4,700 ini telah disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor.
Assalamualaikum wbt,
Saya amat berbesar hati di atas pelancaran blog Surau AnNur Al-Idrisiyah Kg Baru 2 Jalan Kebun ini. Ianya adalah sebahagian usaha pihak surau memberikan info terkini segala aktiviti surau kepada penduduk di kariah ini dan masyarakat Kg Jalan Kebun amnya. Kehadiran blog ini diharap dapat menarik masyarakat terutamanya golongan muda mendekati dan memakmurkan surau sebagai tempat beribadah dan menimba ilmu agama.
Kisah Mubarak ini mengingatkan saya kepada entry Qarin a.k.a. pendamping manusia dan Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut. Bisikan yang mengganggu Mubarak ini saya terjemahkannya kepada gangguan ‘qarin’ kerana setiap manusia yang lahir disertakan ‘qarin’ oleh Allah yang bertugas sebagai ‘penggoda’ seseorang itu sejak seseorang itu lahir hinggalah saat kematiannya. Lihatlah betapa hebat dahsyatnya gangguan syaitan dan Iblis yang berdendam dengan keturunan Adam, bersumpah akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Semoga kita terpelihara daripada tipu-daya golongan ini.
Hari ini saya kongsikan sedikit yang saya petik daripada sumber NasbunNuraini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisaa: 110)
1. Bertaubatlah selagi nyawa dikandung badan dan belum sampai ke halkum.
Sabda Rasulullah SAW, “Bahawasanya Allah yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Taubat Firaun tidak diterima kerana nyawanya sudah sampai ke halkum pada masa itu, lalu Malaikat Jibril menyumbat mulutnya dengan pasir : Dari Sa’id bin Jubeir dari Ibnu ‘Abbas radhiya’l-lahu ‘anhuma meriwayatkan: “Dua orang sahabat menghadap Rasulullah (menanyakan tentang Fir’aun). Sabda Rasulullah SAW : “Malaikat Jibril menyumbat mulut Fir’aun dengan pasir, khuatir kalau-kalau akan mengucapkan: ‘La ‘ilaha illa’l-lah.’” (Shahih, HR. Tirmidzi, HR Abu Hurairah r.a.)
2. Bertaubatlah sebelum matahari terbit dari sebelah barat.
“Siapa yang bertaubat sebelum terbit matahari dari arah barat, nescaya Allah terima taubatnya.” (Hadis riwayat Muslim]
“Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya (rahmatnya) di malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang bebuat dosa di siang hari, dan membentangkan tangan-Nya (rahmatnya) di siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di malam hari, sampai matahari terbit dari arah barat.” (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda : Hari Kiamat tidak akan terjadi sebelum matahari terbit dari barat.
3. Bertaubatlah sebelum al-Quran dihilangkan.
Selagi al-Quran masih ada selagi itu diampunkan dosa kita. Pintu taubat masih terbuka selagi ayat-ayat quran yang dihafal belum dihilangkan dari dada orang Islam. Abdulllah bin Mas’ud berkata, “Sungguh, kelak al-Quran akan dicabut dari dada kamu, dalam satu malam, dihilangkan dari hafalan semua orang, sehingga di bumi ini tidak tersisa lagi sedikitpun.” (Hadis riwayat Thabrani)
Quran akan diangkat secara sekaligus ke langit di waktu malam dan bunyinya sewaktu peristiwa itu berlaku seperti bunyi deruan lebah (bunyi ayat-ayat diangkat itu seperti bunyi lebah). Pada masa itu mereka ini akan terasa seperti ‘ada benda’ yang pernah mereka baca tapi mereka tidak mampu membacanya lagi kerana semuanya sudah hilang dari ingatan. Lalu mereka bersyair sepertimana kebiasaan Arab Jahiliyyah dahulu. Jika semua ini berlaku, ini bermakna kiamat sudah tersangat dekat.
Mari kita sama-sama renung-renungkan!
PETIKAN : http://laman- seri.blogspot. com