--
0


4 Februari 2012 bersamaan 11 Rabiulawal 1433H, satu ceramah sempena MaulidurRasul SAW telah diadakan di Surau Annur Al-Idrisiyah.

--
0


Sebagai umat Islam kita perlu berasa syukur kepada Allah SWT kerana telah dikurniakan nikmat besar berupa hidayah Islam, hidayah hidup di atas sunnah, dan terhindar dari pelbagai bentuk kefahaman hidup yang menyimpang.

Ini antaranya adalah berkat dan rahmat yang diberikan oleh Allah melalui kenabian dan kerasulan Muhammad SAW. Atas sebab usaha-usaha kerasulan Muhammad, Islam pun sampai kepada kita sehingga hari ini. Atas usahanya dan nikmat yang besar inilah kita sebagai umat Islam memiliki kecintaan kepada Baginda.

Pertama-tamanya, marilah kita fahami bahawa mencintai nabi itu termasuk dalam hakikat iman. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya, dan seluruh manusia lainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, 1/24, no. 14)

Keduanya, mencintai dan mengikuti petunjuk nabi adalah termasuk tuntutan mencintai Allah berdasarkan ayat berikut (maksudnya):
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Dalam merealisasikan slogan “Cinta Nabi (Muhammad SAW)” sangat penting untuk kita melihat kembali diri, sama ada telah benar-benar mengikuti sunnah-sunnahnya. Sejauh manakah sunnah-sunnahnya yang sampai kepada kita telah dihayati dan zahirkan melalui peribadi dengan sebaiknya.

Dalam mengambil sunnah, apa yang prioriti di antara yang utama supaya kita sentiasa menyemak bagaimana kita bertauhid, apakah telah benar sebagaimana nabi kita mengajarkannya kerana misi utama diutus rasul-rasul itu sendiri ialah menegakkan tauhid.

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) dalam tafsirnya menjelaskan, “Pada setiap zaman, rasul-rasul diutus untuk menyeru manusia beribadah hanya kepada Allah dan melarang beribadah kepada selain-Nya. Allah Taala bertindak mengutus rasul-rasul kepada manusia dengan membawa misi ini semenjak terjadinya syirik dalam kalangan anak cucu Adam pada zaman Nabi Nuh. Nuh alaihissalam diutus kepada mereka sebagai rasul pertama diperintahkan Allah kepada penduduk bumi sehingga Dia menutup mereka dengan Nabi Muhammad yang dakwahnya mencakupi jin dan manusia di timur dan barat.

Dan bahawasanya setiap rasul memiliki tugas (misi) yang sama, sebagaimana dinyatakan oleh Allah (maksudnya):
“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tidak ada Ilah (Tuhan yang berhak disembah dengan benar) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.” (Surah al-Anbiya’, 21: 25).” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/570)

Atas sebab itu, istiqamahlah dalam bertauhid sebagaimana diperintahkan oleh Rasulullah, sekali gus menjauhi pelbagai jenis kesyirikan yang banyak berleluasa.

Setelah memenuhi dan memahami tuntutan-tuntutan tauhid, ia akan membawa kita supaya sentiasa mengambil dan melaksanakan sunnah-sunnah Rasulullah di setiap aspek kehidupan sebagai kesan tauhid dan cinta terpahat di jiwa. Dalam mengamalkan sunnah, kita mestilah berhati-hati dari berlebih-lebihan terhadapnya iaitu dengan tidak menokok-tambah dan mengubahsuai sunnah tersebut. Kita mengamalkan agama ini sebagaimana diperintahkan dan diajarkan olehnya. Termasuk dalam rangkuman sunnah, hendaklah kita meninggalkan apa ditinggalkan Rasulullah. Kaedah ushul fiqh menyebutkan: “Perbuatan Nabi SAW dalam meninggalkan sesuatu perbuatan dalam keadaan wujudnya keperluan terhadap perkara tersebut dan tiadanya halangan (melakukannya), ia di sini menunjukkan meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah dan melakukannya adalah bidaah.” (Min Usul al-Fiqh ‘Inda Ahlil Hadis, 1/82)

Rasulullah SAW mengingatkan:
“Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama), setiap perkara yang diada-adakan adalah bidaah dan setiap yang bidaah adalah sesat.” (Hadis riwayat Muslim, 4/359, no. 1435)

Apabila kita memahami sesuatu itu adalah sunnah dan kebenaran, kita harus berusaha untuk mengamalkan, sekali gus menyampaikannya kepada yang lain. Ini sebagaimana dijelaskan Allah:
“Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh dan saling nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.” (Surah al-‘Ashr, 103: 2-3)

Perbuatan menyebarkan dan menyampaikan sunnah ini bertujuan meneruskan kelangsungan sesebuah sunnah, sekali gus bagi menyebar-luaskan hakikat kebenaran. Sekiranya, dakwah tidak dilaksanakan bagi menyampaikan sunnah-sunnah nabi ini, nescaya akan berleluasalah kejahilan dan sunnah akan mati, lalu akan digantikan dengan pelbagai jenis bidaah dan kesesatan.

Selain dari menyampaikan sunnah-sunnah nabi yang benar, rasa cinta dapat diterapkan dengan sentiasa memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW sebagaimana dituntut oleh Allah melalui firmannya (maksudnya):
“Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzaab, 33: 56)

Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa di antara kamu yang paling banyak berselawat kepadaku maka dialah yang paling dekat kedudukannya denganku.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi. Lihat: Shahih at-Targhib wa at-Tarhib, 2/137, no. 1672)

Berselawat ke atas nabi adalah sebagaimana yang ditunjuk ajarkan oleh Rasulullah sendiri berdasarkan hadis-hadis sahih. Hendaklah kita tidak melaksanakan selawat dengan tatacara yang menyanggahi petunjuk baginda. Ini banyak berlaku apabila rangkap-rangkap selawat yang asalnya sahih daripada nabi, tetapi kemudian diubah-suai demi untuk dinyanyikan (menjadi hiburan) dan dimasukkan ke dalam praktik amalan berzanji marhaban. Ini kerana selawat adalah sebahagian daripada bentuk ibadah yang tidak dapat dilakukan melainkan dengan adanya dalil yang menjelaskan bagaimana seharusnya ia dilaksanakan. Sebaliknya, hendaklah kita mengambil lafaz-lafaz selawat sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis yang sahih dengan tidak menjadikannya sebagai bahan nyanyian (atau hiburan), dengan tidak menokok tambahnya atau mengubah-suainya, dan tidak mengkhususkannya hanya pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika sambutan Maulid Nabi (atau bulan Rabiulawal) semata-mata melainkan padanya ada saranan daripada hadis yang sahih. Ini adalah seperti memperbanyakkan selawat ketika hari Jumaat, ketika sedang berdoa, dan ketika nama baginda disebut.

Allah juga berfirman (maksudnya):
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim (pemutus) terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisa’, 4: 65)

Setelah kita memahami bahawa wajibnya menuruti segala apa yang datangnya daripada nabi, hendaklah kita meninggalkan apa sahaja yang dilarang, sebaliknya hendaklah kita menyayangi dan mencintai apa sahaja baginda sayangi dan cintai.

Melalui hadis-hadis sahih, Rasulullah juga turut memerintahkan supaya menyayangi dan mencintai orang-orang yang beriman (mukmin) dan orang-orang yang membela agama Allah, iaitu bermula daripada para sahabat dan orang-orang yang mengikutinya. Termasuk dalam perkara ini ialah mencintai apa yang dicintai oleh Rasulullah.

Secara umum, demikianlah beberapa langkah awal melahirkan dan mendidik diri mencintai Nabi Muhammad SAW. Hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh mendalami ilmu pengetahuan terhadap sunnah-sunnah baginda dan agama yang telah sempurna ini. Hanya dengan agama yang didirikan dan ditegakkan di atas prinsip-prinsip sunnah yang betul, slogan cinta nabi akan dapat direalisasikan.

Related Posts with Thumbnails